| Kehidupan Rakyat Etnik Minoriti di Dataran Tinggi Qinghai Mengalami Perubahan Besar |
| 2009-09-17 |
|
Provinsi Qinghai bukan sahaja destinasi pelancongan yang menarik, malah juga merupakan tempat tinggal pelbagai etnik minoriti yang kaya dengan budaya masing-masing. Han Jianmin, seorang petani etnik Salar, salah satu daripada 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China. Rumah Han Jianmin terletak di Kampung Baru Kaunti Autonomi Salar Xunhua, provinsi Qinghai. Halaman rumahnya luas dan ditanam pokok dan bunga, hingga kelihatan seperti sebuah taman. Sebuah kereta baru juga kelihatan tersimpan di garaj yang baru siap dibina di halaman tersebut. Menurut Han Jianmin, kehidupan yang selesa ini terhasil oleh dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Han Jianmin, orang etnik Salar ini berusia 60 tahun. Terdapat 7 orang anggota dalam keluarganya. Pendapatan keluarganya dalam satu tahun mencecah beratus-ratus ribu yuan RMB dengan urus niaga restoran mereka di Beijing. Beliau memberitahu wartawan bahawa, beliau telah mengalami perubahan yang besar dalam hidupnya. Kata beliau, "Dulu, kami tinggal dalam rumah yang dibina daripada tanah liat, keadaannya kurang selamat. Jika hujan turun, jalan di sekeliling rumah dipenuhi Lumpur, sangat susah untuk berjalan. Jika ahli keluarga jatuh sakit, klinik di kampung ini serba kekurangan yang tidak dapat menampung keperluan pesakit. Tetapi, sekarang semuanya sudah berubah. Jalan konkrit sudah dibina di kampung, dan lampu menggunakan kuasa suria dipasang di merata-rata tempat. Kemudahan sukan yang baru juga disediakan di lapangan pusat di kampung ini. Selain itu, klinik kesihatan yang baru juga telah dibina untuk memberikan perkhidmatan kepada penduduk kampung." Sebenarnya, Han Jianmin hanya satu contoh bagi sekian ramai penduduk etnik minoriti di dataran tinggi di provinsi Qinghai yang mengalami perubahan besar dalam kehidupan mereka kerana adanya pelbagai dasar keutamaan negara.
Jumlah penduduk etnik minoriti di Qinghai mencecah 2.56 juta orang, dan ini mewakili 46% lebih daripada jumlah seluruh penduduk di provinsi itu. Etnik Tibet, Hui, Tu, Salar dan Mongol merupakan etnik minoriti yang tinggal di dataran tinggi Qinghai turun-temurun. Ketua Pengarah Jabatan Ekonomi Suruhanjaya Hal Ehwal Etnik Qinghai, Zhaxiben menyatakan bahawa kawasan etnik di dataran tinggi Qinghai ini sedang berkembang pesat, dan penduduk tempatan mendapat keuntungan besar dalam tempoh 30 tahun yang lalu sejak terlaksananya dasar pembaharuan dan pintu terbuka. Menurut beliau, nilai pengeluaran di Qinghai mencapai 58 bilion yuan RMB pada tahun 2008, iaitu meningkat 10.64 kali ganda berbanding dengan tahun 1978. Selain itu, pendapatan tahunan purata penduduk bandar di sana mencapai 11,894 yuan, manakala pendapatan tahunan bersih purata petani dan penggembala tempatan mencapai 3016 yuan pada tahun 2008. kedua-duanya telah meningkat berpuluh-puluh kaliganda. Beberapa tahun kebelakangan ini, dasar keutamaan kerajaan China untuk menyokong kawasan kediaman etnik minoriti bukan sahaja mendorong pembangunan ekonomi malah mengubah cara hidup masyarakat. Pada tahun 2008, sebanyak 3.31 juta orang petani dan penggembala dari 30 buah banda dan kaunti di Qinghai telah menyertai sistem perubatan kerjasama desa yang baru hingga menyebabkan kadar penyertaan meningkat menjadi 96.5%. Selain itu, sekolah etnik yang khusus disediakan di Qinghai kini berjumlah 1423 buah, dan seramai 520 ribu orang kanak-kanak etnik minoriti sedang belajar di sekolah tersebut. Dengan itu, sistem pendidikan etnik yang mempunyai keunikan tempatan sudah pun diwujudkan.
Kampung Baru yang didiami oleh Han Jianmin terletak di tebing utara Sungai Kuning. Semua penduduk kampung tersebut adalah orang etnik Salar. Ketua kampung tersebut, Han Jianwen menyatakan bahawa kerajaan sudah memperuntukkan modal sebanyak 11.82 juta yuan RMB kepada kampung mereka untuk membina infrastruktur dan membantu penduduk kampung menjalankan usaha masing-masing. Pendapatan bersih purata bagi 636 orang kampung tersebut mencapai jumlah 4150 yuan pada tahun yang lalu. Jumlah makanan yang dimiliki setahun pula mencapai 370 kilogram setiap orang, dan kadar kanak-kanak yang memasuki sekolah pula mencapai 100%. |


