Home > China News
Kemajuan Besar Dalam Perkembangan Program Penerbangan Angkasa Lepas di China
2009-09-13

Sdr, pendengar, China menyambut Ulang Tahun Ke-60 Tertubuhnya Republik Rakyat China tahun ini. Dalam tempoh beberapa dekad itu, China telah mencapai kemajuan yang agak besar dalam bidang penerbangan angkasa lepas yang mencerminkan keupayaan sesebuah negara secara menyeluruh dalam bidang sains dan teknologi. Dalam rancangan kali ini, kami akan memperkenalkan beberapa kemajuan utama dalam bidang sains dan teknologi angkasa lepas yang telah dicapai oleh China dalam tempoh 60 tahun yang lalu.

"Saya sudah keluar dari kabin kapal angkasa lepas Shenzhou VII dan berasa seronok sekali. Saya mahu mengucapkan salam kepada rakyat seluruh negara, malah seluruh dunia."

Pada 27 September 2008, angkasawan China, Zhai Zhigang mewakili rakyat China telah melangkah buat pertama kali di angkasa lepas yang jauhnya lebih 300 kilometer dari bumi. Perkataan tadi ialah suaranya untuk mengucapkan salam kepada rakyat seluruh dunia ketika beliau berada di angkasa lepas. Peristiwa yang amat bermakna dalam sejarah itu menjadikan Zhai Zhigang warga China yang pertama yang berjalan di angkasa lepas dan peristiwa itu juga menjadikan China negara ketiga selepas Rusia dan A.S. yang berjaya menguasai teknologi bergerak di luar kabin di angkasa lepas.

Teknologi penerbangan di angkasa lepas dengan membawa angkasawan melibatkan ilmu sains yang bermacam ragam. Teknologi itu terdiri daripada 7 sistem seperti rokoet, kapal angkasa lepas, komunikasi pemetaan, pengawasan dan sebagainya, dan dilihat sebagai satu projek yang paling rumit, paling besar dan paling tinggi risikonya di dunia pada masa ini. Naib Ketua Komander Projek Penerbangan Angkasa Lepas Pembawa Angkasawan China Encik Zhang Jianqi menerangkan bahawa angkasawan tidak akan sanggup menyelesaikan misi berjalan kaki di angkasa lepas tanpa hasil sains dan teknologi yang maju serta keupayaan penyelidikan sains yang tinggi.

"Kami bukan sahaja perlu menguasai teknologi untuk membocorkan tekanan udara dan menghasilkan tekanan berbilangan ketika membina kabin sendat udara (airlock) kapal angkasa lepas, dan menyelidik untuk menghasilkan pakaian angkasawan yang diperlukan bagi mereka bergerak di luar kabin, tetap juga perlu menguasai teknologi mekanikal elektrik mikro dan beberapa teknologi bahan baru lain. "

Tetapi, 60 tahun lalu, berjalan di angkasa lepas hanya merupakan impian sahaja bagi rakyat China. Pada ketika itu, China bukan sahaja tidak mempunyai roket yang boleh digunakan untuk menjalankan misi tersebut, malah tidak mempunyai tenaga profesional dalam bidang sains dan teknologi yang berdaya saing dalam arena antarabangsa. Ketika itu jumlah kaki tangan yang bertugas dalam bidang tersebut kurang daripada 500 orang.

Kerajaan China mengambil berat tentang perkembangan sains dan teknologi dan menyediakan pelan rancangan am pengembangan sains dan teknologi apabila Republik Rakyat China ditubuhkan. Pada tahun 1964, awan tebal berbentuk cendawan yang muncul di kawasan padang pasir di bahagian barat laut China telah mengejutkan seluruh dunia kerana dengan peristiwa tersebut bermakna China berjaya menyelesaikan ujian bom atomnya yang pertama. Tiga tahun selepas itu, China menjayakan ujian peletupan bom hidrogen diikuti oleh kejayaan melancarkan satelit buatannya yang pertama, iaitu Dongfanghong I pada tahun 1970. Kejayaan dalam melaksanakan ujian bom atom dan bom hidrogen serta melancarkan satelit pertama itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan China dalam bidang sains dan teknologi serta pertahanan negara, dan meningkatkan kedudukan China di arena antarabangsa, malah meletakkan batu asas bagi penguasaan teknologi dan latihan tenaga profesional yang bertujuan untuk mengembangkan projek penerbangan angkasa lepas pembawa angkasawan. Pegawai dari Kementerian Sains dan Teknologi China, Encik Mei Yonghong telah membuat analisis dan menyatakan:

"Perkembangan sains dan teknologi China sudah mencapai tahap yang tinggi dengan bentuknya sistem ilmu sains yang paling lengkap di dunia. Selain itu, China kini mempunyai cukup banyak tenaga pakar yang berfokus pada penyelidikan dan penerokaan sains. China sudah menjadi salah satu negara yang paling maju dalam bidang sains di dunia."

China mulai mengamalkan dasar pembaharuan dan pintu terbuka pada tahun 1978. Sejak itulah, kerajaan China menetapkan garis panduan strategi yang disebut "Sains dan teknologi merupakan produktiviti paling utama" dan mula menjalankan kajian dan penyelidikan sains dan teknologi yang baru dengan giat. Hanya selepas beberapa dekad sahaja, China telah mengalami perubahan yang besar, keupayaannya dalam bidang sains dan teknologi meningkat dengan pesat. Selain itu, rakyat China sudah mampu menikmati kehidupan yang semakin makmur yang dibawa oleh kemajuan sains dan teknologi, di samping berasa bangga dengan kemajuan negara mereka. Semangat patriotik itu memuncak apabila projek penerbangan angkasa lepas yang membawa angkasawan itu mencapai kejayaan.

Puan Wang berkata:"Saya berasa amat bangga ketika menyaksikan keupayaan negara melonjak ke satu tahap yang lebih tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Kejayaan projek itu membawa makna yang besar. Saya mahu mengucapkan 'anda adalah wira bangsa China' kepada angkasawan kita. "

Encik Liu berkata: "Kejayaan melancarkan Roket Shenzhou VII melambangkan kemajuan besar yang dicapai oleh negara kita dalam bidang penerbangan angkasa lepas. Kejayaan itu amat mengagumkan dunia sehingga menjadikan kami berasa amat bangga."

Projek penerbangan angkasa lepas yang membawa angkasawan di China mula dilaksanakan pada awal tahun 1990-an. Namun kerja-kerja persiapan yang cukup banyak telah dilakukan selama beberapa tahun sebelum memulakan Projek tersebut. Antaranya termasuklah menghasilkan dan melancarkan dengan jayanya lebih 50 buah satelit yang terdiri daripada 15 jenis, di samping membuat lebih sepuluh buah roket pengangkut "Long March" dalam ukuran yang berbeza-beza yang berfungsi membantu menjayakan pelancaran lebih 70 satelit dari dalam dan luar negeri.

Dengan demikian, China terus menerus mencapai kemajuan dalam projek penerbangan angkasa lepas yang membawa angkasawa. Contohnya, penerbangan angkasa lepas yang pertama yang membawa angkasawan pada bulan Oktober 2003, dan penjelajahan oleh angkasawan China yang pertama, iaitu Encik Yang Liwei di angkasa luar selama lebih 21 jam. Pada tahun 2005, China menjayakan lagi program penerbangan angkasa lepas dengan menghantar dua orang angkasawan untuk menjelajah angkasa luar selama lima hari. Pada bulan September 2008 pula, tiga angkasawan China telah dihantar oleh kapal angkasa lepas Shenzhou VII untuk melakukan penyelidikan di angkasa luar, dan angkasawan Zhai Zhigang merupakan warga China yang pertama berjalan di angkasa lepas.

Pada masa yang sama, kerajaan yang berpandangan jauh ini menumpukan perhatian kepada bulan yang lebih jauh dari bumi. Pada bulan Oktober 2007, China berjaya melancarkan satelit penyelidik bulan yang pertama yang dikenali sebagai "Chang'er I". Dalam masa setahun selepas itu, pelbagai jenis tugas penyelidikan telah berjaya diselesaikan melalui satelit "Chang'er I" menurut jadualnya. Ketua Pereka Bentuk Projek Penyelidikan Terbang Mengelilingi Bulan China, Encik Sun Jiadong memberitahu wartawan CRI:

"Sebelum ini, kami hanya melakukan penyelidikan angkasa lepas yang agak dekat dengan bumi dengan jaraknya dari beberapa ratus kilometer hingga beberapa puluh ribu kilometer sahaja. Namun selepas menguasai teknologi yang cukup canggih, kami mahu melanjutkan penyelidikan itu ke jarak yang lebih jauh. Maka bulan dijadikan sebagai sasaran pertama."

Sempena Ulang Tahun Ke-60 Tertubuhnya Republik Rakyat China, rakyat China berasa amat gembira dan bangga apabila mengenang kembali kemajuan yang dicapai dalam bidang sains dan teknologi. Bagaimanapun, kemajuan itu hanya satu permulaan. Ketua Pereka Bentuk Kapal Angkasa Lepas Shenzhou VII, Encik Zhou Jianping berkata,

"Menyelidik angkasa lepas dan memperluas lingkungan hidup merupakan impian manusia sejak sekian lama. Jadi kami akan melaksanakan rancangan penyelidikan terhadap angkasa lepas dan menyesuaikan rancangan itu dengan keupayaan ekonomi negara. Kami berharap rancangan ini akan mencapai kemajuan yang berterusan dalam usaha mengkaji angkasa lepas."

Suggest To A Friend
  Print