Home > China News
But Qiaoluke, Kraftangan Istimewa Etnik Uygur Xinjiang
2009-09-13

"Qiaoluke" dalam bahasa Tujue bermaksud but yang diperbuat daripada kulit binatang. Tujue merupakan salah satu etnik minority purba di Xinjiang. But Qiaoluke mempunyai sejarah yang lama yang boleh dianggap sebagai "nenek moyang" but yang dipakai etnik Uygur sekarang. Oleh sebab but ini lembut dan tahan sejuk, ia mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat etnik Uygur, Kazak, Kirgiz dan Tajik.

But Qiaoluke tinggi hingga paras lutut, bentuknya pada bahagian kaki seperti perahu yang pada sebelah hujungnya tajam.

Namun, jumlah orang yang memakai but Qiaoluke semakin kurang sejak penghujung tahun 1980-an sebab tukang yang menghasilkan but Qiaoluke menghadapi masalah untuk mewariskan kemahiran membuat kraftangan ini kerana tiada generasi muda yang berminat terhadapnya.

Pada awal bulan Jun, sekumpulan wartawan membuat liputan ke mukim Wujireke, kaunti Yecheng kawasan Kashi di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang. Terdapat sebuah kedai yang luas hanya beberapa meter persegi yang menjual but Qiaoluke, terletak di tepi jalan yang diliputi bunga delima yang berkembang. Memet, seorang tukang but Qiaoluke, sedang mengajar teknik menghasilkan but kepada dua orang pelajarnya dalam kedai tersebut. Kedua-dua pemuda itu baru tamat dari sekolah menengah. Mereka bercadang membuka kedai but Qiaoluke di bandar. Tetapi, bukan mudah untuk menghasilkan but Qiaoluke, seseorang itu sekurang-kurangnya perlu mengambil masa setahun untuk belajar sebelum mahir membuatnya.

Memet, 53 tahun, tukang kasut dan but yang terkenal di kaunti Yecheng. Beliau sendiri belajar menghasilkan but Qiaoluke sejak berumur 14 tahun daripada seorang tukang kasut yang telah berusia. Beliau mengambil masa selama 3 tahun untuk mempelajari cara menghasilkan sepasang but yang bermutu tinggi. Disebabkan kesungguhannya dan rajin belajar, but yang dihasilkannya mendapat pujian gurunya.

Kaunti Yecheng terletak di bahagian utara kaki Gunung Kunlun yang terkenal dengan ketinggiannya dan suhu udaranya rendah. Ramai orang, tidak kira lelaki atau wanita, berusia atau orang muda, sangat suka memakai but Qiaoluke sepanjang tahun kerana ia bukan sahaja tahan sejuk pada musim sejuk, malah ringan dan lembut yang memudahkan orang berjalan di tempat-tempat yang kasar di celah-celah gunung-ganang. Oleh sebab itu, but Qiaoluke amat laris dijual pada awal tahun 1980-an.

Menurut Memet, pada asalnya, but Qiaoluke diperbuat daripada kulit kambing kuning. Namun sekarang kebanyakannya diperbuat daripada kulit lembu yang berwarna hitam, putih dan coklat. But untuk kanak-kanak perempuan pula dihiasi dengan jumbai.

Memet memberitahu wartawan bahawa 20 tahun lalu, but Qiaoluke melambangkan kedudukan seseorang. Penggembala tempatan tidak memakai but Qiaoluke semasa bekerja diladang yang penuh lecak sebaliknya ketika hendak membeli-belah di bandar, barulah memakainya selepas membersihkan diri.

Pada penghujung tahun 1980-an, but Qiaoluke tidak laris lagi kerana semakin banyak kasut yang bercorak dan pelbagai fesyen mendapat sambutan ramai. Gadis muda pula berminat pada kasut tumit tinggi. But Qiaoluke dilihat sebagai barang yang ketinggalan zaman. Ini memang mengecewakan Memet.

Tetapi beliau tidak berputus asa, Dua kali Memet pergi ke Kashi untuk belajar teknik baru membuat kasut. Namun, perniagaannya masih tidak berkembang.

Sehingga beberapa tahun kebelakangan ini, but Qiaoluke disenaraikan sebagai warisan budaya bukan benda Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang. Kerajaan tempatan berusaha sedaya upaya mempromosi but Qiaoluke dan menyediakan tempat kepada peniaganya untuk membuka kedai secara percuma. Yang paling menggembirakan Memet ialah ada orang muda bersedia belajar kemahiran membuat but Qiaoluke.

Kini, but Qiaoluke bukan lagi diguna setiap hari oleh orang tempatan, sebaliknya menjadi barang hiasan dan hadiah kenang-kenangan untuk pelancong. Oleh itu, but tersebut dihiasi dengan warna yang berbagai-bagai.

Kini, but Qiaoluke yang dihasilkan oleh Memet kebanyakannya dijual di pasar-pasar di Kashi. Biasanya beliau menghasilkan sepasang but sehari dan pendapatannya menjangkau lebih 2000 yuan RMB setiap bulan.

But Qiaoluke wujud di kalangan rakyat dan berkait rapat dengan kehidupan penduduk tempatan. Cara kehidupan penduduk secara nomad beralih ke pertanian moden menyebabkan nasib but Qiaoluke ikut berubah.

"Kegunaan" bukan satu-satunya piawaian untuk menetapkan sama ada sesuatu itu perlu wujud atau tidak. Boleh dikatakan bahawa nilai yang paling besar bagi kewujudan but Qiaoluke adalah ia merupakan "saksi" sejarah.

Suggest To A Friend
  Print