Home > China News
Kerajaan China Tumpukan Perhatian terhadap Usaha Pembangunan Urbanisasi
2009-09-01

Encik Zhao Juming yang berusia 68 tahun berasa amat kecewa beberapa hari lalu kerana sudah dua kali gagal ujian bagi mendapat lesen memandu, dan perlu mengambil ujian kali ketiga.

Encik Zhao adalah seorang petani dari Pekan Xuebu, Bandar Jintan di Provinsi Jiangsu China. Beliau telah membeli sebuah kereta dengan harga lebih 50 ribu Yuan RMB pada bulan Januari lalu. Bagaimanapun, beliau tidak boleh memandu kereta tersebut kerana tiada lesen memandu. Ini yang menyusahkan hatinya.

Sebenarnya, Encik Zhao mahir memandu kerana beliau sudah memandu kenderaan selama beberapa tahun. Beliau bukan sahaja telah mendapat lesen memandu lori roda tiga, tetapi juga motosikal. Beliau sudah menggunakan sebanyak 3 buah motosikal. Tetapi beliau tidak pernah memandu kereta. Oleh itu, Encik Zhao mendaftar diri untuk belajar di sekolah memandu dan membeli bahan pelajaran berkaitan.

Dengan demikian, kegiatannya pada sebelah siang memelihara bunga-bunga dan anak-anak pokok, dan belajar memandu kereta pada sebelah malam. Setelah berusaha keras, Encik Zhao akhirnya lulus ujian memandu pada kali ketiga dan memperoleh lesen memandu kereta pada 10 Julai lalu. Bagaimanapun, beliau perlu melakukan ujian kesihatan setiap tahun di pusat perubatan di Pekan Xuebu. Encik Zhao memberitahu wartawan CRI bahawa pengalamanya untuk mendapat lesen memandu itu amat menarik. Katanya, "Saya paling tua antara peserta dalam ujian memandu itu. Pegawai polis bertanya kepada saya kenapa mengambil ujian memandu walaupun sudah lanjut usia. Saya memberitahunya, saya telah membeli sebuah kereta, maka perlu mengambil ujian bagi mendapat lesen memandu kereta. Saya terpaksa mengambil ujian memandu sebanyak 3 kali baru lulus. Saya perlu juga melakukan ujian kesihatan sekali setahun, iaitu pada bulan Julai setiap tahun."

Pekan Xuebu yang dihuni Encik Zhao itu terletak di bahagian barat Bandar Changzhou Provinsi Jiangsu. Luasnya lebih 230 kilometer persegi dengan jumlah penduduknya hampir 70 ribu orang. Pekan Xuebu yang kaya dengan sumber tanah kerana terletak di kawasan berbukit itu dikenali sebagai "Kawasan penanaman bunga dan anak pokok". Pada tahun 2008, keluasan penanaman bunga-bunga dan anak pokok di seluruh pekan itu melebihi 1500 hektar, merupakan 30% daripada jumlah keluasan kawasan ladang seluruh pekan, dengan jumlah jualan bunga dan anak pokok melebihi 200 juta Yuan RMB.

Encik Zhao menjadi kaya juga disebabkan menanam bunga-bunga dan anak-anak pokok. Beliau menaman pelbagai jenis bunga dan pokok termasuk pokok bic dan Camphora di ladang tanamannya yang seluas 5 hektar. Katanya, beliau akan menanam anak pokok di mana-mana tempat yang terbiar. Dengan menjual anak pokok bic sahaja, beliau telah memperoleh lebih 100 ribu Yuan RMB pada tahun 2008.

Encik Zhao amat gembira apabila memperkatakan tentang keadaan hidupnya sekarang. Menurutnya, bukan beliau sahaja yang memperoleh keuntungan disebabkan menjual anak pokok, penduduk lain juga menjadi kaya kerana menanam pokok bunga dan anak-anak pokok. Disebabkan taraf hidup sudah meningkat, penduduk bukan sahaja dapat membeli kereta, tetapi juga membeli rumah di pekan itu.

"Jumlah pendapatan yang kami peroleh berlainan pada masa yang berbeza. Jumlah pendapatan yang paling banyak ialah melebihi beratus ribu Yuan RMB. Pada tahun yang lalu, saya memperoleh beratus ribu Yuan RMB dengan menjual anak pokok bic. Jumlah keuntungan yang diperoleh di seluruh kampung kami melebihi 2 juta Yuan. Semua keluarga di kampung kami menanam pokok, dan keluasan tanaman yang dimiliki setiap keluarga melebihi beberapa ribu meter persegi. Jika anak pokok laris dijual, jumlah pendapatannya akan mencatat 70 hingga 80 ribu Yuan RMB, bahkan mencapai 200 ribu Yuan. Penduduk tempatan telah membeli kereta, barangan elektrik kegunaan rumah, bahkan membeli rumah di Pekan Xuebu. "

Encik Zhao memandu sejauh 8 kilometer untuk membeli barang-barang termasuk racun perosak di kedai di pekan. Perjalanan pergi-balik, hanya memakan masa setengah jam saja. Encik Zhao berkata, memandu kereta jauh lebih seronok daripada menunggang motosikal kerana dapat memandu selesa daripada gangguan kesejukan pada musim sejuk dan panas pada musim panas.

"Saya selalu memandu kereta, terutama untuk membeli racun perosak di pekan. Perjalanan sepanjang 8 kilometer tersebut hanya menggunakan masa 12 minit saja. Kereta itu telah memudahkan kehidupan kami. Memandu kereta jauh lebih seronok dan stabil daripada menunggang motosikal. Kita tidak berasa panas atau sejuk di dalam kereta. Terdapat alat penyaman udara dalam kereta yang membolehkan kita berasa dingin ketika panas."

Pekan Xuebu bukan sahaja dikenali sebagai "Kawasan penanaman bunga dan anak pokok", tetapi juga merupakan kawasan penting dalam sektor industri. Kerajaan pekan itu telah menetapkan kaedah yang disebut "pertumbuhan ekonomi meningkatkan pembangunan urbanisasi, manakala pembangunan urbanisasi pula mendorong pertumbuhan ekonomi". Disebabkan kerajaan tempatan menumpukan perhatian terhadap pembangunan urbanisasi, maka, pertumbuhan ekonomi di seluruh pekan itu terus meningkat dengan pesat. Pada masa ini, industri bahan bangunan dan industri pakaian menjadi industri utama di pekan itu. Hasil pengeluaran industri berjumlah 4.7 bilion Yuan RMB pada tahun 2008, meningkat 18% berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2007.

Selaras dengan pertumbuhan pesat ekonomi, rangka kota seluas 4.8 kilometer persegi dengan jumlah penduduknya seramai lebih 10 ribu orang telah terbentuk pada tahap awal Pekan Xuebu. Dengan kejayaan itu, pekan tersebut digelar sebagai pekan pembangunan urbanisasi contoh di seluruh negara oleh Kementerian Perumahan dan Pembinaan, dan juga digelar sebagai salah satu daripada 1000 pekan terbaik dalam bidang perkembangan menyeluruh di kota dan pekan China oleh Jabatan Statistik Negara.

Pada masa ini, terdapat sebanyak 18 ribu buah kota dan pekan di China. Pembangunan kota dan pekan memberi erti penting bagi pembangunan urbanisasi di China yang bertujuan untuk mendorong perkembangan sosioekonomi di kawasan desa. Disebabkan pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang antara kawasan bahagian timur dengan bahagian tengah dan barat, maka, usaha membangunkan kota dan pekan di seluruh China masih memerlukan masa yang panjang.

Suggest To A Friend
  Print