Home > China News
China Aktif Sertai Kegiatan Pengaman Antarabangsa
2009-08-19

Pada 29 Mei, tahun 1948, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi memilih seramai 36 orang pemerhati tentera untuk ditempatkan di Baitulmuqaddis bagi mengawal selia pelaksanaan gencatan senjata antara negara Arab dan Israel selepas perang Asia Barat pertama. Perkara ini turut memulakan kegiatan pengaman PBB. 61 tahun sudah berlalu, kegiatan pengaman PBB tidak pernah terhenti. Lebih ramai pengaman China memikul tanggungjawab untuk memelihara kedamaian dunia dan menggalakkan pembangunan bersama.

Pada malam 23 Disember tahun 2007, pasukan pengaman China pertama yang terdiri daripada 135 orang berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Henan menghala ke Darfur Sudan. Ketika diwawancara oleh wartawan sebelum berlepas, beberapa anggota pengaman berkata: "Kami dapat rasakan bahawa tugas ini amat berat, tetapi amat mulia. Kami akan berusaha sedaya upaya melaksanakan pelbagai tugas, membuat persiapan untuk penempatan pasukan selanjutnya dan memberikan sumbangan kami untuk menggalakkan kestabilan dan pembangunan di kawasan Darfur serta memelihara keamanan dunia."

Pasukan pengaman China tersebut merupakan pasukan pengaman pertama yang ditempatkan oleh PBB ke kawasan Darfur. Walaupun alam persekitaran di kawasan itu amat buruk, tetapi pasukan pengaman China berjaya menyelesaikan beberapa projek pembinaan utama menurut jadual. Wakil khas bersama masalah Darfur PBB dan Kesatuan Afrika, Rodolphe Adada menyanjung tinggi usaha pasukan China sehingga dilafaznya bahawa "anggota pengaman China mencipta keajaiban".

Kegiatan pengaman di Darfur, kegiatan awal oleh anggota pengaman China. Pada bulan April tahun 2000, China buat pertama kalinya menghantar lima orang pemerhati tentera ke pertubuhan penyeliaan gencatan senjata PBB dan memulakan penyertaannya dalam kegiatan pengaman PBB. Tiga tahun selepas itu, China menganggotai mekanisme pergerakan pengaman PBB iaitu membuat persiapan dalam tempoh 90 hari dan mampu menghantar pasukan logistik menurut mandat PBB pada bila-bila masa.

Bermula dari lima orang pemerhati hinggalah beberapa ribu orang anggota pengaman, China telah menjadi negara yang menghantar paling banyak anggota pengaman antara lima buah anggota tetap Majlis Keselamatan PBB. Pasukan pengaman China turut menjejakkan kaki ke Afrika, Asia Barat, Asia Selatan dan Amerika Latin.

Di tempat yang penduduknya mengalami penderitaan kerana perang, anggota pengaman memakai beret yang berwarna biru dan lencana PBB berusaha bersama-sama dengan penduduk tempatan untuk mengatasi kesukaran dan melaksanakan pembangunan semula.

Chen Haihua, seorang jururawat China, menyertai pasukan pengaman ke Libya pada tahun 2006 dengan meninggalkan anak lelakinya yang berumur lapan tahun. Dalam tempoh perkhidmatannya yang berlangsung selama lapan bulan, beliau bersama-sama rakan sekerjanya memberikan rawatan kepada lebih lima ribu penduduk tempatan dan lebih 250 pesakit yang cedera parah. Ketika mengenang kembali pengalaman itu, Puan Chen berkata: "Saya ingat lagi pada 25 Julai tahun 2006, seorang ibu mengandung yang berada dalam keadaan koma ketika dihantar ke hospital kami. Nyawa ibu dan anak terancam. Kami bertungkus lumus berusaha untuk menyelamatkan mereka."

Melalui pembedahan selama lapan jam, ibu itu selamat melahirkan seorang anak lelaki. Chen berkata, ketika ibu dan anak itu dihantar oleh doktor dan jururawat China ke hospital tempatan, doktor dan jururawat tempatan berdiri di sebelah kiri dan kanan dengan tepukan tangan yang gemuruh. Katanya: "Anggota keluarganya meminta kami memilih nama untuk anak lelaki itu kerana ibu dan anak itu diselamatkan oleh doktor China. Akhirnya, kami menamakannya 'Lihua'".

Li maksudnya Libya, manakala Hua maksudnya Zhonghua, iaitu China.

Kini, Lihua sudah berumur tiga tahun.

Terdapat beberapa angka yang perlu diingati mengenai usaha pasukan China seperti berikut: pasukan pengaman China membina jalan sepanjang tujuh ribu kilometer, lebih 200 buah jambatan, memberi rawatan kepada 40 ribu penduduk, mengangkut orang atau barang-barang sejauh 4.7 juta kilometer dan menyingkirkan bahaya bahan letupan sebanyak tujuh ribu butir. 8 orang anggota pengaman China terkorban ketika melaksanakan tugas mereka. Kini, seramai dua ribu orang anggota pengaman China sedang menjalankan tugas mereka.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Pengkajian Kedamaian Antarabangsa Stockholm, Sweden yang terkemuka dinyatakan bahawa China memainkan peranan yang semakin penting dalam kegiatan pengaman antarabangsa. Tambahan pula, beberapa sarjana di dalam dan luar negara China membangkitkan bahawa hasrat dan usaha China untuk memelihara kedamaian dunia membuktikan China sebuah negara besar yang bertanggungjawab.

Suggest To A Friend
  Print