Home > China News
Industri Islam Menjadi Saluran Baru Bagi China Luaskan Kerjasama Perdagangan dengan Negara-negara Islam
2009-08-17

Pameran Makanan Halal dan Barang Keperluan Islam Antarabangsa China ke-3 telah diadakan di Xining, ibu kota provinsi Qinghai dari 6 hingga 9 Ogos lalu. Lebih 300 pengusaha sektor penghasilan dan pembelian makanan halal dan barang keperluan Islam dari 24 buah negara serta hampir 1,000 buah syarikat China menyertai pameran ini. Menerusi peluang ini, mereka berusaha meneroka ruangan kerjasama antara satu sama lain dalam bidang industri Islam.

Naib Ketua Pengarah Dewan Promosi Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT), Zhang Wei memberitahu pemberita, pameran ini mendapat perhatian luas sektor perindustrian Islam dalam dan luar negara. Katanya, pameran ini telah menyediakan wahana yang berkesan bagi perusahaan dari negara atau kawasan Islam untuk menjalankan perniagaan di China, di samping mewujudkan pentas yang lebih luas kepada industri makanan halal dan barang keperluan Islam di China.

Dalam upacara rasmi yang diatur pameran ini, sebanyak 30 buah syarikat China dan luar negara termasuk Persatuan Perindustrian dan Perniagaan Malaysia, Group SAKATA Jepun dan Syarikat Berhad Perdagangan Pelancongan Antarabangsa Thailand telah menandatangani 16 program kerjasama yang bernilai hampir 300 juta dolar Amerika.

Ketua cawangan Qinghai CCPIT, Nan Wenkui berkata, program tersebut ditandatangani setelah menjalani penyelidikan dan dijangka dapat dilaksanakan secara konkrit.

Menurut beliau, terdapat hanya 38 buah syarikat asing dari 13 negara menyertai pameran yang pertama pada tahun 2007. Sehingga tahun 2008, syarikat asing telah bertambah kepada 67 buah dari 16 negara. Namun, syarikat asing yang menyertai pameran kali ini telah meningkat kepada 117 buah dari 24 negara. Ini bukan sahaja menunjukkan sektor perindustrian Islam mempunyai ruangan pasaran yang berpotensi dan luas, malah dapat merasai hasrat yang kuat negara-negara Islam untuk meluaskan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan China.

Nan Wenkui berkata, pameran semakin profesional ini telah menyediakan saluran yang baru bagi China dengan negara-negara Islam berinteraksi dan menjalankan kerjasama.

Konselor perdagangan dari Kedutaan Besar Iran di China, Alavi menjelaskan, sebenarnya pasaran makanan halal di seluruh dunia amat luas bagi para pengeluar. Semakin banyak pengguna memerlukan produk yang disahkan halal dalam bidang makanan. Bahkan pasaran ini sedang mempengaruhi bidang bukan makanan.

Alavi yakin bahawa pameran yang dianjurkan bersama oleh CCPIT dan kerajaan provinsi Qinghai itu akan menyediakan saluran yang lebih baik antara perdagangan sektor produk keperluan Islam, pengusaha pameran dari seluruh dunia, pengunjung dan pengguna. Selain itu, beliau yakin pameran ini dapat mendorong interaksi antara peniaga Islam dengan bukan Islam di seluruh dunia.

Kini, nilai pasaran makanan halal di seluruh dunia mencapai 150 bilion dolar Amerika daripada pasaran makanan halal dan produk keperluan Islam yang bernilai 2,100 bilion dolar Amerika.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), 52% daripada jumlah penduduk Malaysia beragama Islam, manakala jumlah penduduk Islam di China mencapai lebih 20 juta orang. Malaysia bersedia meningkatkan kerjasama dan interaksi dengan perusahaan China dalam bidang perindustrian Islam.

Zhang Wei menyatakan industri Islam China akan terus meluaskan kerjasama antarabangsa supaya menarik lebih banyak pelabur dan pengimport asing. Selain itu, mereka akan membantu syarikat makanan halal dan barang keperluan Islam untuk meningkatkan dan menjamin kualiti produk.

Suggest To A Friend
  Print