| Muqam Xinjiang Mengharukan Penonton Britain |
| 2009-08-10 |
|
Muqam adalah sejenis kesenian tradisional yang menggabungkan pelbagai jenis seni seperti muzik, tarian, nyanyian, puisi dan adat resam etnik Uygur. Muqam adalah cara seni yang mudah mengharukan orang kerana sifatnya yang asli. Pada malam 5 Julai lalu, Kedutaan Besar China di Britain mengadakan konsert yang menarik perhatian ramai kerana seniman yang diundang membuat persembahan adalah anggota daripada Kumpulan Kesenian Rakyat Muqam Daolang, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang. Mereka berkunjung ke Britain untuk menyertai Pesta Muzik Muslim London.
Lebih 200 orang tetamu daripada pelbagai bidang politik, ekonomi, kebudayaan, sains dan teknologi serta pendidikan di Britain dijemput ke Kedutaan Besar China untuk menikmati persembahan yang istimewa ini.
Para seniman Muqam yang berpakaian tradisional yang bercirikan etnik mereka duduk di tengah pentas yang berkarpet. Lima orang penyanyi utama adalah warga emas berumur antara 60 dan 70 tahun yang merupakan pewaris kesenian Muqam yang diwarisi turun-temurun sejak zaman datuk nenek. Mereka menyanyi lagu Muqam Daolang sambil memainkan alat muzik yang khusus dimiliki oleh etnik mereka sendiri seperti Rewapu.
Rewapu ialah alat muzik bertali yang digemari oleh masyarakat etnik Uygur, Tajik dan Uzbek. Ia dicipta pada abad ke-14 Masihi. Rewapu dibuat daripada kayu. Bentuknya sangat istimewa, badannya langsing dan panjang. Bahagian atasnya melengkuk dan terdapat sebuah kotak resonans yang berbentuk separuh bulatan di bahagian paling bawah. Bunyi Rewapu nyaring dan jelas. Alat ini sering dimainkan sama ada dalam persembahan solo, berkumpulan atau untuk mengiringi muzik lain.
Persembahan mereka menarik perhatian para penonton sehingga beberapa orang pegawai kerajaan turut bangun menyertai kumpulan orang yang menari mengikut irama muzik Muqam. Kumpulan Kesenian Rakyat Muqam Daolan Xinjiang menyertai Pesta Kesenian Muzik Muslim yang bertajuk "Damai" atas undangan Koperasi Kerjasama Kebudayaan Britain. Pengarah pesta ini, Encik Draswanyi menerangkan pesta kesenian musim panas itu yang sudah diadakan sebanyak 21 kali di London bertujuan untuk menyediakan peluang bagi kumpulan kesenian pelbagai etnik di seluruh dunia dapat berinteraksi. Pesta ini telah mengundang seniman Islam dari 11 buah negara dan Britain, merupakan pesta kebudayaan dan kesenian Muslim antarabangsa yang paling besar diadakan di negara bukan Islam. Muqam amat popular di kawasan kediaman etnik Uygur di Xinjiang. Antaranya, Muqam yang tersebar di kawasan Magaiti, Turpan dan Hami mempunyai ciri yang menonjol. Dengan demikian, dikatakan bahawa kesenian Muqam terbentuk kerana pertemuan dan saling mempengaruhi antara pelbagai etnik dalam bidang kesenian nyanyian dan tarian dalam perkembangan tamadun di "Laluan Sutera".
Oleh itu, Muqam disenaraikan sebagai warisan budaya bukan benda manusia oleh UNESCO. Ketua Kumpulan Kesenian Rakyat Muqam Daolang, Puan Aitiya memberitahu wartawan bahawa anggota yang paling tua daripada lima warga emas dalam kumpulan ini berusia 76 tahun. Persembahan mereka mendapat sambutan amat baik para penonton. Mereka menerima tepukan yang gemuruh setelah menunjukkan persembahan yang hanya berlangsung setengah jam sahaja. Seorang penonton berkata, seni budaya China sangat kaya, tidak sebagaimana yang saya jangkakan sebelum ini. |




