Home > Embassy News
Konsep "Dunia yang Harmoni" Cerminkan Ciri-ciri China dan Masa Depan Perkembangan Dunia
2009-10-28

"Dunia yang harmoni", istilah yang penuh dengan kebijaksanaan budaya Timur ini, banyak digunakan dalam aktiviti-aktiviti antarabangsa sekarang ini. Konsep ini difahami dan dipersetujui oleh semakin banyak negara kerana ia menunjukkan keadaan hubungan antarabangsa yang sempurna. Sebenarnya, konsep ini juga mencerminkan konsep "harmoni" dalam hubungan diplomatik antara China dengan negara-negara lain sepanjang proses perkembangan dasar luarnya.

"Kita perlu menghormati hak negara lain untuk memilih sistem sosial dan corak jalan perkembangannya, menggalakkan negara-negara lain berkembang mengikut keadaan negaranya sendiri, dan perlu memelihara kepelbagaian tamadun berdasarkan prinsip sama kedudukan dan terbuka, meningkatkan dialog dan pergaulan antara tamadun yang berbeza-beza, juga berusaha bersama untuk mewujudkan keharmonian di dunia yang mempunyai tamadun yang berbeza-beza."

Cadangan "mewujudkan dunia yang harmoni" ini dikeluarkan oleh Presiden China Hu Jintao ketika menyampaikan ucapan dalam Sidang Kemuncak PBB yang diadakan pada bulan September 2005 lalu bagi memperingati ulang tahun ke-60 tertubuhnya pertubuhan itu. Presiden Hu buat pertama kalinya menghuraikan makna konsep "Dunia yang harmoni" ini, lalu disambut dengan gembira oleh wakil negara-negara lain, dan mereka mula memikirkan konsep ini. Konsep itu merupakan inti sari dasar politik dan sosiobudaya yang pada asalnya dilaksanakan untuk membentuk satu masyarakat China yang harmoni. Ucapan Presiden Hu itu membawa mesej kepada negara-negara lain bahawa China berharap dapat berkembang secara damai, bersedia menjadi negara yang bertanggungjawab, dan bersedia bersama-sama dengan negara lain untuk mewujudkan dunia yang damai, makmur dan harnomi.

Konsep "Dunia yang harmoni" dalam dasar luar China sebenarnya adalah warisan fikiran dan budaya tradisi China. Naib Presiden Institut Hubungan Antarabangsa di Universiti Rakyat China, Encik Jin Canrong berkata, "Asal usul konsep 'Dunia yang harmoni' berkait dengan tradisi China yang mencerminkan ciri-ciri fikiran dan budaya orang China. Sejak tertubuhnya Republik Rakyat China, kerajaan China sentiasa melaksanakan dasar luar yang mengandungi konsep "harmoni", misalnya 5 prinsip hidup bersama secara damai dan perkembangan secara damai. Dengan itu, dasar luar China yang damai itu mencerminkan budaya tradisi China dan inovasi kerajaan China dalam hubungan diplomatiknya dengan negara-negara lain dalam tempoh berpuluh-puluh tahun yang lalu. China berkembang pesat pada tahun-tahun kebelakangan ini. Negara-negara lain telah memberikan perhatian terhadap perkembangan ini. Pada masa yang sama, mereka berasa bimbang sedikit terhadap perkembangan ini, kerana mereka tidak pasti apa akan berlaku di dunia setelah China berkembang. Konsep 'Dunia yang harmoni' ini memberikan jawapan kepada negara-negara lain bahawa China memerlukan satu dunia yang harmoni."

Naib pengarah Institut Ekonomi dan Politik Dunia di Akademi Sains Sosial China, Encik Wang Yizhou menyatakan, bahawa pelaksanaan konsep "Dunia yang harmoni" oleh kerajaan China zaman ini bermakna kerajaan bukan hanya meneruskan dasar luar China yang lama, malah mengembangkan 5 prinsip hidup bersama secara damai. Katanya, "Sepanjang 60 tahun yang lalu, banyak konsep atau teori baru yang dikemukakan dalam dasar luar China kerana strategi dan dasar penting yang berlainan dilaksanakan oleh kerajaan. Misalnya, China mengemukakan dasar luar dengan 5 prinsip hidup bersama secara damai pada tahun 1950an, kemudian mengamalkan teori yang membahagikan negara-negara di dunia ini kepada tiga "dunia", dan mengambil konsep yang menyusun semula orde politik dan ekonomi antarabangsa yang lama pada tahun 1960an dan 1970an. Konsep dan teori tersebut telah memainkan peranan sebagai pemangkin kepada perkembangan hubungan antarabangsa. Setelah China melaksanakan dasar pembaharuan dan pintu terbuka, lebih banyak konsep yang baru dikemukakan dalam dasar luar China. Pada pendapat saya, kerajaan China telah menunjukkan daya cipta dan kebijaksanaannya pada zaman yang baru kerana mampu mengemukakan konsep 'Dunia yang harmoni', dan ini akan mendorong munculnya konsep China yang baru."

Perubahan konsep dasar luar China selaras dengan perubahan dan penyusunan semula situasi politik antarabangsa, dan inti sari setiap konsep tersebut pula adalah "harmoni". Sejak memasuki abad ke-21, dunia ini mengalami perubahan, multipolar dunia dan integrasi ekonomi sejagat berkembang maju, dan hubungan antara negara dengan negara semakin erat. Pada masa yang sama, faktor-faktor yang tidak stabil dan kurang pasti dalam situasi antarabangsa pula menjadi cabaran besar terhadap kedamaian dan perkembangan dunia. Maka, mewujudkan kedamaian, keamanan dan perkembangan menjadi arah aliran perkembangan masyarakat manusia.

Berdasarkan trend perkembangan dunia sekarang ini, China telah mengemukakan konsep "Dunia yang harmoni" dengan mematuhi "Piagam PBB" dan prinsip undang-undang antarabangsa. Di samping itu, China terlebih dulu telah berusaha untuk mencapai matlamat itu, dan memberikan contoh yang baik kepada negara-negara lain. China juga mempamerkan imej sebagai negara yang bertanggungjawab, baik dalam hubungan dua hala atau pelbagai hala, mahupun dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama atau menyelesaikan konflik. Usaha China untuk mewujudkan dunia yang harmoni ini difahami dan diterima oleh semakin banyak negara di dunia.

Pengarah Bahagian Dasar dan Rancangan Kementerian Luar China, Le Yucheng menyatakan bahawa kenyataan membuktikan konsep "Dunia yang harmoni" ini penuh bersemangat dan semakin diminati ramai. Beliau berkata, "4 tahun sudah berlalu setelah Presiden Hu mengemukakan konsep 'Dunia yang harmoni' ini pada tahun 2005, dan perubahan besar telah dialami di dunia. Hubungan diplomatik China turut mencapai kejayaan dengan penerimaan konsep ini. Lebih-lebih lagi, krisis kewangan yang berlaku pada tahun ini, sekali lagi membuktikan bahawa dunia memerlukan kedamaian, kestabilan dan keharmonian. Cabaran global yang kita hadapi semakin rumit dan semakin banyak. Selain krisis kewangan, terdapat juga isu perubahan iklim, keselamatan sumber tenaga dan bahan makanan, serta penyakit berjangkit secara besar-besaran dan sebagainya. Penyelesaian masalah tersebut memerlukan kerjasama yang saling menguntungkan dan keupayaan hidup bersama secara harmoni bagi seluruh masyarakat antarabangsa."

Jika dikenang kembali sejarah hubungan diplomatik China, kita akan mendapati bahawa China bukan setakat menjadi negara pertama yang mengemukakan konsep "Dunia yang harmoni", malah negara utama yang merealisasikan konsep itu. Konsep "Dunia yang harmoni" telah menentukan arah aliran pembangunan orde antarabangsa dan semakin diterima oleh masyarakat antarabangsa. China pula akan menyertai usaha pembangunan orde dunia ini dengan lebih aktif.

Perbincangan Umum Perhimpunan Agung PBB telah diadakan di New York A.S. pada bulan September yang lalu. Presiden China Hu Jintao yang menyertai sidang itu telah menyampaikan ucapan penting yang bertajuk "Bekerjasama untuk mewujudkan masa depan yang maju". Beliau sekali lagi, mengemukakan pandangan dunia pihak China, "Ketika menghadapi peluang dan cabaran yang tiada sebelumnya, masyarakat antarabangsa perlu terus menggembleng tenaga, berpegang pada prinsip berdamai, berkembang, berkerjasama, bertolak ansur, dan berkongsi keuntungan untuk mewujudkan dunia yang kekal, makmur dan harmoni."

Suggest To A Friend
  Print