Home > Embassy News
Kemajuan Besar Dalam Perkembangan Sains dan Teknologi di China
2009-08-24

Sdr, pendengar, China menyambut Ulang Tahun Ke-60 Tertubuhnya Republik Rakyat China tahun ini. Dalam tempoh 60 tahun yang lalu, taraf sains dan teknologi China telah meningkat dengan pesat, dan hasil penyelidikan sains telah meresap ke dalam setiap aspek kehidupan rakyat China seperti pakaian, makanan, tempat tinggal, pengangkutan dan barangan kegunaan harian.

Masalah makanan pernah merupakan masalah yang serius di China. Pada tahun 1940-an dan tahun 1950-an, disebabkan kaedah penghasilan pertanian yang ketinggalan zaman dan kesan bencana alam seperti kemarau dan banjir, jumlah pengeluaran pertanian utama amat kurang di China, sehingga ramai orang yang kebuluran. Jumlah bahan makanan yang digunakan di China pada tahun 1949 hanya mencatat kira-kira 200 kilogram perkapita.

Pakar padi kacukan China, Encik Yuan Longping, yang sudah berusia kira-kira 80 tahun sekarang ini, juga mengalami kesukaran hidup dan kebuluran pada masa itu. Sejak waktu itu, beliau berazam untuk melakukan penyelidikan bagi menghasilkan sejenis padi yang dapat melonjakkan jumlah pengeluarannya. Beliau mulai melakukan penyelidikan tentang padi kacukan yang dianggap sebagai cabaran besar di dunia pada masa itu.

"Mengapa saya keyakin untuk membuat penyelidikan padi kacukan? Ini kerana saya mendapati padi kacukan mempunyai kelebihan. Saya yakin selaras dengan kemajuan sains dan teknologi, jumlah pengeluaran tanaman benar-benar makanan dapat ditingkatkan. Saya melakukan penyelidikan untuk padi kacukan selama 9 tahun bermula pada tahun 1964, dan mengalami banyak kesukaran."

Encik Yuan Longping telah menjalankan ujian beribu-ribu kali dalam tempoh 9 tahun itu, dan mengesahkan jumlah hasil padi kacukan 20% lebih banyak daripada padi biasa. Setelah teknik penanaman padi kacukan yang sempurna dikuasai dan teknologi tersebut digunakan dalam pengeluaran pertanian, jumlah padi yang dikeluarkan melonjak ke satu tahap yang agak tinggi di China. Dengan itu juga, Encik Yuan menjadi saintis pertama di dunia yang berjaya menghasilkan padi kacukan.

Selepas itu, Encik Yuan Longping mula melakukan penyelidikan untuk padi kacukan jenis super. Setelah mencapai beberapa banyak kejayaan dari segi teknik, jumlah pengeluaran padi kacukan jenis super terus meningkat, dan kawasan seluas 667 meter persegi dapat menghasilkan padi sebanyak 800 kilogram, iaitu dua kali ganda daripada penghasilan padi biasa.

"Saya berpuas hati menghasilkan teknik penanaman padi kacukan jenis super pada masa itu. Tetapi, saya tidak menyangka teknologi tersebut mendatangkan keuntungan yang amat besar bagi sektor pertanian."

Teknologi menanam padi kacukan jenis super itu membolehkan jumlah tambahan padi yang dikeluarkan di China mencecah kira-kira 600 juta tan. Kejayaan ini juga membolehkan China mencipta keajaiban dunia dalam sektor pertanian, iaitu, China mampu menyediakan bahan makanan kepada penduduk yang jumlahnya merupakan 22% daripada jumlah penduduk dunia, manakala luas sawah ladangnya hanya merupakan 7% sahaja daripada jumlah ladang di seluruh dunia. Di samping itu, teknologi penanaman padi kacukan itu juga telah diperkenalkan di 20 buah negara dan kawasan termasuk India dan Vietnam.

Hasil kajian sains dan teknologi yang diperoleh para penyelidik sains selalunya digunakan terus untuk pembangunan sosioekonomi di China, kerana kerajaan China semakin lama semakin memberikan perhatian kepada penggunaan sains dan teknologi dalam tempoh 60 tahun yang lalu.

Apabila Republik Rakyat China ditubuhkan pada tahun 1949, kerajaan China sudah mengutamakan usaha mengembangkan sains dan teknologi dan telah menetapkan rancangan yang berkaitan dengannya. Setelah China mengamalkan dasar pembaharuan dan pintu terbuka pada tahun 1978, perkembangan sains dan teknologi di China meningkat dengan lebih pesat dan mengalami perubahan dari segi mutu. Pada waktu itu, kerajaan China menetapkan garis panduan strategi yang berbunyi "Sains dan teknologi merupakan produktiviti paling utama", menjalankan projek kajian dan penyelidikan sains dan teknologi yang baru dengan giat, membentuk sistem yang bermanfaat bagi pengembangan sains dan teknologi serta latihan tenaga profesional. Ketua Pengarah Pejabat Pengajian Kementerian Sains dan Teknologi China, Encik Xu Heping menyatakan bahawa, peranan sains dan teknologi semakin lama semakin penting dalam perancangan kerajaan dan kehidupan rakyat di China beberapa tahun kebelakangan ini.

"Jurang perbezaan antara taraf perkembangan sains dan teknologi di China dengan taraf perkembangannya yang maju di arena antarabangsa semakin rapat, malah China jauh lebih kedepan dalam beberapa sektor, dan semakin menpengaruhi perkembangan sains dan teknologi di dunia. Sains dan teknologi telah memberikan sokongan kuat kepada pembangunan sosioekonomi dan keselamatan negara."

Sekarang, jumlah hasil kajian sains dan teknologi yang diperoleh di China amat banyak, lebih 20 ribu jenis setahun yang melibatkan sektor sumber tenaga, pertanian, perlindungan persekitaran ekologi dan sektor lain.

Perkembangan sains dan teknologi terus memperbaiki kehidupan rakyat di China. Puan Ma Qin, petani dari Mukim Qinglanshan, Provinsi Gansu di barat laut China mempunyai pengalaman tentang perubahan kehidupan. Puan Ma memberitahu wartawan CRI bahawa, dengan menggunakan kaedah pertanian dan penternakan yang moden, kehidupan kaum petani di kampungnya bertambah baik dari sehari ke sehari. Ada beratus-ratus keluarga di kampung itu, dan setiap keluarga mempunyai kandang ternakan ekologi dan dapat menggunakan gas metana yang dihasilkan oleh mereka sendiri. Menurutnya, kandang ternakan ekologi berfungsi menyalurkan kumuhan daripada manusia dan haiwan ke dalam loji gas metana supaya beragi untuk menghasilkan gas metana untuk menjadi bahan bakar, cecair yang tinggal dalam loji itu pula akan disalurkan ke sawah ladang sebagai baja untuk tanaman.

"Dengan itu, kami tidak perlu menggunakan arang batu, kayu, dahan atau ranting tanaman lagi sebagai bahan bakar sepanjang tahun. Ini dapat menjimatkan sebanyak 2 hingga 3 ribu Yuan RMB setahun. Sebaliknya, kami memproses dahan atau ranting tanaman tersebut sebagai bahan makanan ternakan. Kami mengambil segala tindakan untuk menjimatkan sumber alam."

Pada saat menyambut Ulang Tahun ke-60 tertubuhnya Republik Rakyat China, orang ramai yakin, perkembangan sains dan teknologi akan terus meningkatkan taraf hidup rakyat China.

Suggest To A Friend
  Print