| China Sedia Tingkatkan Lagi Kerjasama dengan ASEAN |
| 2009-07-24 |
|
China bersedia untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan ASEAN.
Menteri Luar China, Yang Jiechi berkata dalam Sidang Menteri Luar China-ASEAN di Phuket, Thailand semalam, kerjasama China-ASEAN mempunyai asas yang kukuh dan berpotensi besar. China bersedia meningkatkan pertukaran dan kerjasama dengan ASEAN dalam enam aspek. Pertama, meneruskan dasar pasaran terbuka, menentang perlindungan perdagangan dan memperluas kerjasama dua hala serta pelbagai hala dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Kedua, mendorong pembinaan infrastruktur China-ASEAN, termasuk jalan raya, landasan kereta api, pengangkutan air, penerbangan dan komunikasi. Ketiga, meningkatkan kerjasama subkawasan, termasuk kawasan aliran Sungai Mekong Besar, Kawasan Pertumbuhan ASEAN - Brunei Darussalam - Indonesia - Malaysia - Filipina (BIMP-EAGA) dan Pan Teluk Beibu. Keempat, memupuk pemangkin pertumbuhan ekonomi yang baru. Kelima, meningkatkan lagi kerjasama dalam membanteras penyalahgunaan dadah dan kegiatan lanun serta mencegah wabak selesema. Keenam, menggalakkan kerjasama dalam bidang pendidikan, kebudayaan, media dan pelancongan. Pada hari yang sama, Yang Jiechi menemui rakan sejawatnya dari A.S., Rusia, Republik Korea dan Pakistan secara berasingan. Dalam pertemuan dengan Setiausaha Negara A.S., Hillary Clinton, Yang Jiechi berkata, kedua-dua pihak perlu berusaha supaya Dialog Strategi dan Ekonomi China-A.S. yang akan diadakan di A.S. minggu depan mencapai hasil yang memuaskan. |