Home > Tourism
Pasar Besar, yang Sibuk di Bandar Kashi
2009-10-28

Pasar besar Dongmen di bandar Kashi merupakan destinasi yang seharusnya disinggahi sekiranya saudara melawat ke bandar di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang ini. Ia bukan sahaja tempat yang paling ramai di Kashi, tetapi juga menjadi syurga membeli belah di bandar itu, terutama bagi para pelancong yang pertama kali datang ke Kashi.

Pasar Dongmen bermaksud pasar yang terletak di timur Sungai Tuman di bandar Kashi. Etnik Uygur tempatan biasanya memanggil pasar ini sebagai "pasar Ying", dan sekarang ia diberi nama yang lebih menarik, iaitu "pasar perdagangan antarabangsa China dan Asia Barat".

Apabila memperkenalkan pasar tersebut kepada orang dari luar, penduduk tempatan selalu menyatakan "sebarang barang boleh diperoleh di pasar ini kecuali matahari dan bulan."

Pada hari Jumaat, umat Islam yang bersembahyang Jumaat di masjid berhampiran akan berpusu-pusu masuk ke pasar Dongmen untuk membeli-belah selepas selesai sembahyang. Pasar tersebut segera menjadi sibuk dan riuh rendah dengan suara orang ramai berjual beli. Pelbagai kenderaan seperti kereta, motosikal, basikal bahkan kereta keldai berhenti di kedua-dua belah bahu jalan. Seringkali bas pelancong berhenti menurunkan ramai pelancong yang terus masuk ke dalam pasar. Mereka tertarik oleh suasana kesibukan pasar.

Pelbagai macam barang dijual dalam pasar Dongmen. Dari deretan gerai yang menjual buah-buahan atau buah kering, ke deretan gerai yang menjual barang keperluan harian seperti peralatan menjahit dan kebersihan diri. Barang kraf tangan dan barang-barang hiasan yang paling disukai pelancong ada di merata-rata tempat. Di samping gerai makan, makanan ringan yang istimewa di Xinjiang banyak dijual bagi memudahkan pengunjung merasai sedikit pemanis mulut sambil membeli-belah dalam pasar.

Selain daripada produk Xinjiang yang unik, barang-barang yang istimewa dari Pakistan, India dan Iran juga boleh didapati dengan banyaknya. Seorang peniaga tempatan, Encik Aitimaijiang, menjual pasu bunga selama 9 tahun di pasar Dongmen. Beliau selalu berurus niaga dengan peniaga dari Pakistan. Beliau sentiasa berpakaian kemas, begitu juga dengan kedainya yang sentiasa dijaga bersih kerana beliau berpendapat kecantikan dan kebersihan dapat memberi kesan pertama yang baik. Ini bermanfaat bagi beliau dalam urus niaga dengan pihak lain kerana mereka akan merasa senang dan mesra ketika masuk ke dalam kedai yang cantik dan bersih. Menjalani urusan perniagaan selama 9 tahun, menjadikan Aitimaijiang mendapat pengalaman yang berharga dalam selok belok perniagaan. Disebabkan urusan perniagaannya, beliau selalu berulang alik ke negara-negara di Asia Tengah dan pusat perdagangan di pelbagai bandar raya di China. Ini tidak menjadikan beliau lupa kepada kampung halamannya, Kashi yang sangat dicintainya. Beliau berkata, budaya etnik di Kashi sangat istimewa. Beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk Kashi semakin bersikap terbuka dan kaya-raya. Mereka sedia berinteraksi dengan dunia luar dan mencapai hasil yang memuaskan.

Pasar di Kashi menjadi semakin sibuk pada Hari Ahad. Penduduk di bandar dan kaunti di sekitar akan beramai-ramai pergi ke pasar dengan memakai pakaian yang elok. Mereka menganggap membeli-belah di pasar sebagai suatu pesta riang gembira. Kebanjiran orang dalam pasar boleh mencapai 100 ribu orang. Tiada yang pasti mana yang lebih banyak, antara orang dengan produk dalam pasar.

Penduduk Kashi bersifat mesra, suka melayan tetamu dan terbuka. Mereka tidak boleh hidup tanpa pasar. Kata orang tempatan, jika tidak membeli-belah di pasar sepanjang minggu, mereka akan merasa tidak selesa seperti tidak makan daging kambing sepanjang minggu. Pasar dapat memenuhi semua keperluan, walaupun hanya untuk menengok-nengok tanpa membeli apa-apa.

Pasar Dongmen merupakan pasar perdagangan tradisional yang sudah tegak terdiri hampir 2,000 tahun lalu dan berkembang maju sehingga menjadi pasar yang sedia ada sekarang. Pada asalnya, petani dari kampung di sekitar membawa barang-barang pertaniannya ke kawasan itu untuk berjualan dengan hanya membentangkan sehelai tikar sebagai alas barangan jualan. Tetapi sekarang kedai-kedai yang mempunyai kemudahan yang baik sudah dibina dalam pasar tersebut. Lebih 6,000 orang peniaga persendirian berurus niaga di pasar ini.

Seiring dengan pertumbuhan ekonomi di Kashi, pasar Dongmen semakin terkenal dan lebih ramai pelancong tertarik untuk datang berkunjung bukan sahaja untuk membeli cenderamata dan hadiah kenang-kenangan, tetapi juga menghayati suasana meriah di Kashi.


 

Suggest To A Friend
  Print