| Kumpulan Air Terjun Huangguoshu |
| 2009-09-29 |
|
Di kawasan Anshun, provinsi Guizhou di barat daya China, terdapat sebuah kawasan kumpulan air terjun Huangguoshu yang indah permai. Di sekitar Air Terjun Huangguoshu, iaitu air terjun yang paling besar ini, terdapat 18 buah air terjun yang besar ataupun kecil. Kumpulan air terjun serta beberapa banyak destinasi pelancongan yang menarik, seperti Kampung Batu, Jambatan Bintang, Istana Langgong dan lain-lain, telah membentangkan gambaran yang cukup mempesonakan di hadapan mata pelancong. Kumpulan Air Terjun Huangguoshu mendapat mana ini daripada sejenis pokok di kawasan sekitarnya, iaitu pokok Huangguo. Berbeza dengan air terjun yang lain, Air Terjun Huangguoshu boleh dinikmati dari enam arah, iaitu dari atas, bawah, kiri, kanan, hadapan dan belakang. Dengan memandangnya dari arah-arah yang berlainan, air terjun yang besar ini akan mempamerkan gambar yang sama sekali berbeza kepada para pelancong. Dengan keunikan inilah, Air Terjun Huangguoshu ini disifatkan sebagai air terjun yang paling indah dan paling megah di dunia. Dengan menjadikan Air Terjun Huangguoshu sebagai pusatnya, 18 buah air terjun yang beraneka ragam bertaburan di sekitarnya dan terbentuklah Kumpulan Air Terjun Huangguoshu. Pemandangan alam semula jadi ini diisytiharkan sebagai kumpulan air terjun yang paling besar dalam Rekod Guinnees Dunia. Menurut orang tempatan, di kawasan kira-kira 20 kilometer persegi ini, terdapat banyak air terjun. Ada yang besar, ada yang kecil, ada yang gah, ada yang halus. Air Terjun Huangguoshu yang paling besar di sini, tingginya 77.8 meter, lebarnya 101 meter. Wajahnya berubah-ubah pada empat musim, seolah-olah gadis yang cantik mempamerkan kecantikannya kepada orang ramai. Air sungai yang mengalir dengan deras dari lereng bukit yang curam, jatuh mencurah ke dalam Kolam Xiniu di kaki bukit, mengeluarkan bunyi deruan yang bergemuruh lalu membentuk kabus. Oleh sebab itu, air terjun di kawasan Huangguoshu sentiasa dilitupi kabus pada sepanjang tahun dan para pelancong akan terkena tempiasnya walaupun berada di tempat sejauh 60 meter dari air terjun tersebut.
Selain itu, yang sangat menarik ialah, para pengunjung dapat menyaksikan pelangi yang berwarna-warni, menyentuh air terjun. Ini merupakan nikmat yang amat meriangkan. Pemandu pelancong tempatan mengatakan bahawa udara di sekitar air terjun ini mengandungi ion oksigen negatif yang banyak dan ini amat baik untuk kesihatan kita. Maka, Air Terjun Huangguoshu ini ialah satu tempat yang amat baik untuk "mencuci paru-paru". Kawasan Air Terjun Huangguoshu ini merupakan kawasan penempatan beberapa etnik minoriti, seperti etnik Miao, etnik Buyi dan lain-lain. Apabila kita berjalan-jalan di kawasan ini, kita boleh mendengar suara yang merdu, itulah gadis-gadis etnik yang menyanyikan lagu etnik mereka. Dengan diiringi irama lagu, deruan air sungai dan kicauan burung, kita berasa seolah-olah telah terpisah daripada dunia yang hiruk pikuk, dan berasa amat seronok. Pada tahun 2005, kawasan kumpulan Air Terjun Huangguoshu digelar sebagai "tempat yang paling indah di China" oleh majalah National Geography China. Pada bulan Mac 2007 pula, ia dimasukkan sebagai sebuah daripada kawasan pelancongan 5A kumpulan pertama oleh Jabatan Pelancongan Negara. |


