Home > Tourism
Destinasi Pelancongan Yesanpo Beijing
2009-09-29

Destinasi Pelancongan Yesanpo terletak kira-kira 100 kilometer dari Bandar Beijing. Tempoh antara bulan Mei hingga Ogos setiap tahun, merupakan musim yang terbaik bagi pelancong untuk berkunjung ke sini. Bersiar-siar di Lembah Baili yang indah, menaiki rakit buluh di Sungai Juma, dan bersantai-santai di rumah petani merupakan acara pelancongan yang sangat menarik.

Jika bertolak dari Beijing dengan menaiki kenderaan, kita akan sampai ke Yesanpo dalam masa kira-kira 3 jam. Di tempat yang luasnya kira-kira 600 kilometer persegi, terdapat beberapa destinasi pelancongan seperti Lembah

Baili, Sungai Juma, Pagoda Lubang Buddha, Hutan Dara Baicaopan, Lembah Longmen dan Gunung Jinhua. Antaranya, yang paling unik ialah Lembah Baili.

Lembah Baili digelar "Lembah Pertama di Dunia", kerana pemandangan alam semula jadinya yang sangat indah. Lembah itu terbentuk oleh 3 kawasan lembah yang panjang keseluruhannya 22.5 kilometer. Itulah sebabnya lembah ini dinamakan "Lembah Baili". Ketika memasuki Lembah ini, kita seolah-olah berada di kayangan. Bunga-bunga yang bermekaran dan rumput yang hijau melitupi kaki gunung yang curam dengan jalannya yang sempit dan berliku-liku. Di Lembah Baili ini, jalan yang ada amat sempit dan ia lalu di celah-celah gunung. Di sini, banyak pemandangan yang menarik seperti anak tangga dan jambatan istimewa di Longmentianguan. Semasa memasuki lembah itu, kita akan melalui anak tangga yang semuanya berliku-liku dan terletak antara lembah.

Selain itu, kita boleh meneruskan lawatan ke "Lurah Xiezi". Lurah ini dinamakan Lurah Xiezi kerana terdapat sejenis rumput yang bentuk daunnya seperti kala jengking yang bersaiz kecil tumbuh di sini. Ramai pelancong suka berkunjung ke "Lurah Xiezi" ini, kerana di sini mereka dapat menikmati pemandangan yang indah dan menyaksikan ruang angkasa di celah-celah awan dan langit yang cerah seolah-olah seutas tali yang halus dan kelihatan sangat cantik.

Seterusnya, kita boleh melawat " Mulut Harimau", iaitu kawasan yang dianggap bahaya di Yeshanpo. Jika berdiri di sini, kita akan merasakan diri kita sangat kecil, dengan beberapa tiang batu di lereng bukit itu yang kelihatan seperti "gigi harimau". Melalui tempat ini, kita akan sampai ke "Lembah Haitangyu" yang terkenal dengan bunga Begonia yang mekar dengan banyaknya di merata tempat di lembah ini.

Nama tempat ini kononnya berasal dari satu cerita dongeng tentang seorang gadis yang bernama Haitang yang hidup di sini pada suatu masa dahulu. Dia terkorban apabila cuba menyelamatkan bapanya yang berlawan dengan seekor harimau. Untuk memperingati gadis yang hebat dan berani itu, penduduk tempatan menamakan kawasan ini " Lembah Haitangyu".

Selepas lawatan di Yesanpo, kebanyakan pelancong suka berkunjung ke kampung Gougezhuang. Mereka akan singgah menginap dan makan di rumah petani di sini. Kebanyakan rumah petani di sini bersih dan sewanya hanya 15 Yuan Renminbi seorang untuk satu malam. Semua rumah petani di tempat ini boleh disewa oleh pengunjung. Gaya hidup setiap keluarga petani di sini berbeza. Reka bentuk rumah mereka juga berbeza-beza. Ada rumah yang berhalaman, ada rumah dua tingkat dan lain-lain. Kebanyakan pelancong yang datang ke sini menginap di rumah petani sahaja, tidak perlu pada rumah yang mahal sewanya.

Pelancong yang menginap di rumah petani, berpeluang menikmati makanan, lauk-pauk dan sayur hutan yang istimewa di kampung ini. Di Yesanpo, terdapat masakan istimewa yang patut dinikmati oleh para pelancong, iaitu kambing panggang yang sangat enak.

Seorang penduduk tempatan menceritakan proses memanggang kambing, katanya "Pelancong yang berkunjung ke rumah saya akan memilih sendiri kambing yang hidup dan sihat untuk dipanggang. Selepas kambing itu dibersihkan, dibubuh minyak dan rempah, ia akan dipanggang sehingga separuh masak. Kemudian, sekali lagi ia dibubuh minyak dan rempah, dan dipanggang lagi sehingga masak untuk dinikmati.

Di Yesanpo, selain Lembah Baili, terdapat destinasi pelancongan lain, seperti Sungai Juma dan Pagoda Lubang Buddha yang sangat menarik. Walaupun kawasan Yesanpo ini tidak luas, tetapi, untuk melawat semua destinasi pelancongan di sini, memerlukan masa yang panjang.

Suggest To A Friend
  Print