| Destinasi yang Mempesona Menara Sugong Turpan dan Putaogou |
| 2009-09-13 |
|
Lembangan Turpan mungkin tidak asing bagi kebanykan orang. Ia terletak di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat China. Walaupun tempat itu tidak besar, tetapi ia sangat terkenal di dalam dan di luar negara. Jika bertolak dari bandar Turpan dengan menaiki kereta atau bas, kira-kira 25 minit sahaja, pelancong akan sampai ke Menara Sugong yang terletak di pinggir bandar tersebut. Di bawah sinaran cahaya mata hari, jika dilihat dari jauh, Menara Sugong ini kelihatan berwarna kekuningan dan berkilauan. Menara ini merupakan sebuah menara purba agama Islam yang reka bentuknya amat istimewa. Ia merupakan sebuah menara purba yang terbesar yang masih wujud di wilayah Xinjiang. Ia sudah mempunyai sejarah lebih daripada 220 tahun. Menurut catatan sejarah, kerajaan Dinasti Qing telah membina masjid ini sebagai penghargaan kepada seorang pemimpin etnik Uygur Turpan Emin jasanya memelihara kedamaian tanah air ketika itu. Oleh itu, menara Sugong ini juga dikenali sebagai menara Emin.
Menara Sugong ini tingginya 37 meter dan garis pusatnya ialah 10 meter. Ia dibina daripada batu-bata. Terdapat 15 corak hiasan di dinding luarnya, kesemuanya merupakan corak seni tradisional etnik Uygur. Masih terdapat 14 buah tingkap yang menghala ke pelbagai arah dari tingkat-tingkat menara ini. Yang lebih menghairankan ialah, tidak ada sebatang tiang pun di dalam reka-bentuk Menara Sugong ini. Tetapi, 72 anak tangga yang dibina dengan batu-bata di tengah-tengah menara ini menjadi tiang utamanya. Ia bukan saja memperkukuh binaannya, tetapi juga digunakan sebagai tangga yang boleh didaki sampai ke atap menara ini. Yang paling menarik ialah menara ini dibina daripada tanah liat. 200 tahun yang lalu, tidak ada simen atau konkrit. Pembinaannya menggunakan 80 % tanah, 20% telur ayam, madu lebah dan beras pulut yang diadun sebagai simen. Walaupun menara itu sudah mempunyai sejarah lebih 200 tahun, tetapi ia tetap utuh kerana dipelihara dengan baik. Pelancong boleh mendaki hingga hampir ke atap menara ini dengan anak tangga pilin. Ketika berdiri di atas bumbungnya, pelancong boleh melihat pemandangan bandar Turpan. Terdapat sebuah masjid berhampiran dengan menara ini. Masjid ini merupakan masjid yang terbesar di kawasan Turpan. Ia boleh menampung lebih seribu orang jemaah pada satu-satu waktu. Pada setiap hari Jumaat, ramai penganut agama Islam di kawasan Turpan yang akan berhimpun dan menunaikan fardu Jumaat di sini.
Selain menara Sugong, buah-buahan di ladang tanaman anggur juga menjadi tumpuan pelancong. Di Turpan, walaupun iklimnya panas, tetapi , terdapat banyak air di bawah tanah. Ini menjadi faktor mengapa kawasan Turpan banyak menghasilkan anggur, tembikai, tembikai hami dan buah-buahan yang lain. Kerana kering dan hujan yang sedikit, buah-buahan di sini banyak menyimpan gula, dan menjadi manis. Inilah antara sebab yang menarik ramai pelancong untuk melawat kawasan ini. Ada satu tempat yang bernama "Putaogou", iaitu ladang tanaman anggur yang terletak kira-kira 7 kilometer dari pinggir bandar Turpan. Ladang anggur itu panjangnya lebih 8 ribu meter. Terdapat sumber mata air dan sebatang anak sungai yang mengalir melalui ladang ini. Para-para dan junjung bagi pokok anggur ini dibina bertingkat-tingkat di seluruh ladang anggur ini, pelbagai bunga dan pokok juga ditanam di sekitarnya. Rumah-rumah para petani kampung itu bertaburan di celah-celah pokok-pokok yang menghijau. Sehingga kini, masih terdapat banyak lagi bangsal yang dibina daripada tanah liat untuk mengeringkan buah anggur untuk dijadikan kismis.
Kini, terdapat lebih 400 hektar ladang tanaman anggur di kawasan ini. Di sini beberapa jenis anggur ditanam, antaranya, anggur putih, anggur hitam, anggur hitam kemerah-merahan serta anggur yang bentuknya seperti susu kuda. Pengeluaran anggur tahunan dari kawasan ini lebih daripada 6 ribu tan dan kismis pula daripada lebih 300 tan. Kismis anggur putih yang dihasilkan di sini, rasanya manis, dan sangat terkenal di pasaran antarabangsa. Kismis ini digelar "mutiara hijau China" Sewaktu berada di ladang tanaman anggur ini, kita boleh melihat ramai pelancong yang menikmati anggur dan tembikai hami di bawah junjung pokok anggur. Pelancong juga boleh mendengar muzik etnik Uygur Xinjiang yang mempunyai keistimewaannya tersendiri. |



