Home > Tourism
Destinasi Pelancongan Provinsi Yunnan yang Mempunyai Keunikan Tersendiri
2009-09-13

Provinsi Yunnan terletak di kawasan sempadan barat daya China. Tempat ini kaya dengan sumber pelancongan, kerana kedudukan geografinya, udaranya yang nyaman, kebudayaan yang bersejarah lama, dan pelbagai etnik yang hidup di situ. Oleh itu, Provinsi Yunnan telah menjadi destinasi pelancongan yang terkenal di dalam dan luar negara.

Para pelancong boleh berkunjung ke Yunnan bila-bila masa sahaja pada sepanjang tahun. Keunikan pelancongan di Yunnan ialah pertama pemandangan alam semula jadinya yang indah permai; kedua, adat-resam etniknya yang istimewa. Ini merupakan kelebihan yang penting bagi industri pelancongan Yunnan.

Iklim yang unik telah membentuk pelbagai pemandangan alam yang aneh di sini. Dataran tinggi, tasik, gunung-ganang, lembah, gunung salji, gua kast serta hutan hujan tropika boleh dilihat di merata-rata tempat di Yunnan. Di sebelah timur, bentuk buminya diliputi hutan batu yang aneh, manakala di barat, pemandangan alam subtropika dan adat-resam etniknya pula yang menarik. Pemandangan utama di utara ialah pemandangan gunung salji, glasier dan tiga sungai. Tetapi, di selatannya, pemandangannya ialah pemandangan hutan hujan tropika. Yunnan kaya dengan sumber pelancongan, dan destinasi pelancongan yang jarang ditemui, bukan sahaja di China, bahkan di dunia.

Selain itu, Yunnan juga mempunyai adat-resam pelbagai etnik. Antara 56 etnik di China, 52 etnik terdapat menetap di Provinsi Yunnan, termasuk Etnik Yi, Bai, Han, Dai dan Zhuang. Etnik minoriti seluruh provinsi ini berjumlah lebih 14 juta orang. Pelbagai anggota etnik ini hidup bersama secara harmoni, walaupun mengekalkan budaya serta adat-resam masing-masing, khususnya dalam aspek pakaian, upacara perkahwinan, makanan, nyanyian dan tarian, agama dan reka bentuk rumah yang unik yang menarik ramai pengunjung dalam dan luar negara untuk datang.

Budaya yang bersejarah lama di Yunnan sangat menarik. Dalam proses perkembangan sejarah yang lama, budaya tempatan yang unik telah terbentuk. Banyak tinggalan sejarah dan budaya silam seperti budaya Beiye etnik Dai Xishuangbanna, budaya Nanzhao Dali dan budaya Dongba Lijiang yang ditemui di sini. Warisan sejarah pada masa lampau banyak yang memperkaya budaya di Yunnan hari ini.

Semenjak pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka, di China, kerajaan Provinsi Yunnan dengan menggunakan kelebihan sumber pelancongan, telah mengambil tindakan yang berkesan untuk meningkatkan perkembangan industri pelancongan di Yunnan. Industri pelancongan telah menjadi satu daripada empat industri utama di Yunnan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perkembangan pesat industri pelancongan telah menjadikan Yunnan salah satu destinasi pelancongan utama di China.

Semenjak ekspo Pelancongan Sedunia yang diadakan di Kunming pada tahun 1999, industri pelancongan Yunnan telah mencapai perkembangan yang besar. Selain itu, Provinsi Yunnan juga meningkatkan pembangunan infrastruktur dan latihan tenaga profesional dalam sektor pelancongan. Sistem lalu lintas yang baik telah memberikan kemudahan kepada para pelancong dan meletakkan asas yang kukuh bagi perkembangan industri pelancongan dan meningkatkan daya saing Yunnan di peringkat antarabangsa.

Kini, walaupun Provinsi Yunnan menduduki tempat pertama dalam bidang industri di seluruh negara, Namun, industri pelancongan masih perlu berusaha ditingkatkan.

Industri pelancongan Provinsi Yunnan mempunyai masa depan yang cerah untuk berkembang. Melalui pelbagai usaha yang dilaksanakan, industri ini akan mempunyai keunikan dan daya tarikannya yang tersendiri, dan dengan itu, lebih banyak pelancong akan datang melancong ke kawasan ini untuk menikmati pemandangan alamnya yang indah.

Suggest To A Friend
  Print