| Jalan Deshengsha di Bandar Haikou |
| 2009-09-13 |
|
Bandar Haikou ialah ibu kota provinsi Hainan. Bandar ini merupakan tempat peranginan yang terkenal, bukan hanya kerana pemandangan pantainya yang indah, tetapi juga suasana budayanya yang istimewa. Jalan Deshengsha terletak dekat pantai dan bangunan di kiri kanannya mempamerkan keistimewaan seni bina Asia Tenggara. Bangunan di sekitar Jalan Deshengsha ini, kebanyakannya dibina pada tahun 1920-an hingga 1930-an. Ketika bersiar-siar di jalan ini, kita berasa seolah-olah kembali ke zaman piring hitam. Itulah sebabnya ramai pelancong yang terpesona dengan jalan yang mengembalikan kenang-kenangan ini.
"Sha" bermaksud tempat yang berdekatan dengan pantai. Pada suatu waktu dahulu, Deshengsha merupakan sebuah jeti utama di bandar Haikou ini. Namun, kini, jalan ini tidak lagi hampir dengan pantai disebabkan bandarnya sudah membangun dan membesar dalam beberapa puluh tahun ini. Wang Haisheng ialah seorang penduduk Haikou. Beliau memberitahu pemberita bahawa "Pulau Hainan terletak di tempat paling selatan di negara China, Haikou pula terletak di tempat paling utara di Hainan. Maka Jalan Deshengsha ini ialah jalan yang paling utara di Hainan. Pada hari yang terang cuacanya, kita boleh melihat pemandangan Tanah Besar di utara dengan jelas." Pada penghujung zaman Dinasti Qing, iaitu akhir abad ke-19, Jalan Deshengsha merupakan tempat penceroboh asing merampas sumber dari China serta menjual barangan masing-masing. Sehubungan dengan itu, jalan ini dikenali sebagai saksi perjuangan penduduk Hainan mengusir penceroboh asing dan berkembang menjadi makmur pada masa ini. Pada tahun 1901, persatuan katolik Perancis telah membina "Hospital China-Perancis"; Pada tahun 1931, bangunan yang paling tinggi pada waktu itu, iaitu "Bangunan Lima Tingkat" dibina; Pada tahun 1935, bangunan kastam siap dibina…… Pada waktu itu, Jalan Deshengsha merupakan kawasan perdagangan yang paling sibuk. Banyak barangan yang diimport dari luar negara yang dijual di sini. Menurut cerita orang tempatan, "Bangunan Lima Tingkat" merupakan tempat yang paling terkenal di Haikou. Ramai peniaga yang datang ke sini untuk menjalankan urus niaga. Pada zaman itu, menginap serta makan minum di "Bangunan Lima Tingkat" ini dianggap berprestij dan sebagai bukti kebangsawanan. Pada awal abad ke-20, ramai orang Hainan pergi ke Asia Tenggara untuk mencari rezeki. Mereka yang berjaya dalam perniagaan mereka di Asia Tenggara, pulang ke Haikou untuk membina rumah. Dengan itu, mereka bukan hanya membawa pemikiran yang baru, malah membawa seni bina Asia Tenggara ke Haikou.
Pada tahun 1998, kerajaan bandar Haikou telah memperuntukkan lebih 6 juta yuan untuk membangunkan jalan ini menjadi pusat beli-belah. Jalan Deshengsha yang diubah suai ini panjangnya 500 meter, dipasang lebih 20 buah bangku serta 14 buah pondok telefon telah diletakkan di sepanjang jalan ini. Bangunan di kedua-dua belah jalan ini merupakan bangunan dua atau tiga tingkat, dicat dengan warna merah jambu dan putih. Kini Jalan Deshengsha merupakan pasar borong pakaian utama di bandar Haikou. Kebanyakan penduduk Haikou suka membeli pakaian di sini. Jalan Deshengsha juga merupakan pusat makanan di bandar ini. Bubur bijan, taufu, bebola daging, kuih sembilan lapis, siput goreng dan kuih kelapa, semuanya amat sedap dan menarik ramai pelancong untuk makan di sini. Pelancong yang melawat Haikou mengatakan bahawa Jalan Deshengsha merupakan tempat yang menarik kerana suasana budayanya, hidangan makanannya yang sedap serta sentiasa dinamik. Jalan ini merupakan tempat yang mesti dikunjungi sekiranya berpeluang ke bandar Haikou. |


